Perebutan takhta Sultan Hussain Shah

Latar belakang

Sultan Johor-Riau, Sultan Mahmud Shah III mangkat pada 1812 setelah memerintah selama lebih 50 tahun, tanpa melantik pewaris takhta. Baginda meninggalkan dua orang putera berlainan bonda, kedua-duanya berketurunan Bugis. Sebagai putera yang sulung, Tengku Hussain pada adat kebiasannya akan menggantikan Sultan Mahmud Shah III berbanding adinda tirinya, Tengku Abdul Rahman yang lebih muda.[4] Walau bagaimanapun, Tengku Hussain sedang berada di Pahang semasa ayahandanya mangkat.

Tengku Abdul Rahman dengan sokongan orang Bugis yang diketuai oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar telah dilantik menjadi Sultan Johor sebelum Tengku Hussain sempat kembali. Sebagai balasan sokongan yang diberikan oleh Raja Jaafar, beliau telah dilantik sebagai raja muda dan diberi kuasa pentadbiran penuh.[5] Tengku Hussain yang tinggal di Pahang dan menunggu angin monsun tiba tidak mengetahui pelantikan adindanya sebagai Sultan kerana isi surat yang ditulis oleh Raja Jaafar kepada Tengku Hussain untuk memaklumkan kemangkatan Sultan Mahmud tidak menerangkan pelantikan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan. Surat jawapan telah dihantar dari Pahang ke Lingga memaklumkan pelantikan Tengku Hussain sebagai Sultan oleh Bendahara Tun Ali di Pahang. Akhirnya Tengku Hussain belayar balik ke Lingga apabila tibanya angin monsun, lalu telah disambut oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang telah menawarkan untuk menyerahkan takhta kepada Tengku Hussain. Walau bagaimanapun, baginda Tengku Hussain dengan cepat menarik balik tawaran tersebut kerana diancam oleh Raja Jaafar.[6]

Kesahihan pemerintahan Sultan Abdul Rahman dipersoalkan kerana alat kebesaran diraja berada di dalam tangan Raja Hamidah, parmaisuri terkanan Sultan Mahmud Shah III yang telah menyatakan pilihannya bahawa Tengku Hussain layak untuk menaiki takhta. Tambahan pula, Tengku Hussain mendapat sokongan Temenggung dan para pembesar Melayu. Hal ini menyebabkan soal peralihan kuasa bertambah rumit.[7]

Kesan pelantikan Sultan Hussain

British telah berjaya mengetepikan pengaruh politik Belanda dengan pelantikan Sultan Hussain sebagai Sultan Johor dan Singapura. Pelantikan ini membolehkan British mengukuhkan pengaruhnya di Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, kesahihan pelantikan Sultan Hussain sebagai Sultan Johor dan Singapura tidak diiktiraf oleh Raja-raja Melayu dan jawatan Baginda hanya sekadar nama. Sebaliknya, kedudukan Temenggung Abdul Rahman menjadi bertambah kukuh akibat perjanjian yang ditandatangani dengan British membolehkan beliau memutuskan pengaruh Raja Jaafar ke atas beliau.[8]

Belanda pula mengambil langkah berani untuk merampas alat kebesaran diraja daripada Raja Hamidah apabila mendengar khabar angin Sultan Hussain meminta bantuan British untuk merampas alat tersebut.[9] Pada November 1822, Sultan Abdul Rahman telah dimahkotakan sebagai Sultan Lingga oleh Belanda dengan penuh alat kebesaran diraja.[10]

Sultan Abdul Rahman, yang lebih mengabdikan diri kepada agama Islam, menghadkan pengaruh politiknya di Lingga, di mana keluarga baginda tinggal di bawah pentadbiran[11] Raja Jaafar yang memerintah di bawah pengaruh Belanda.[12] Walau bagaimanapun, timbul pula persoalan kekaburan kesahihan kepimpinan tempatan, seperti status Johor dan Pahang, yang merupakan hak milik de jure Sultan Abdul Rahman dan penggantinya kerana Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 tidak membolehkan beliau berkuasa di Johor dan Pahang.[13] Memandangkan hal ini, Temenggung dan Bendahara mula menjadi lebih berkuasa. Tambahan pula, peningkatan pengaruh British di Semenanjung Tanah Melayu dan perubahan politik semasa perlahan-lahan mengurangkan pertelingkahan tersebut. (Pada tahun 1857, Sultan Lingga, Sultan Mahmud IV, yang merupakan ketua de jure Kesultanan Johor, Pahang dan Lingga, telah menuntut haknya sebagai pemerintah negeri-negeri tersebut dan menyebabkan perang saudara di Pahang.[14])

Manakala bagi sebelah Sultan Hussain pula, baginda tidak meneruskan sebarang tuntutan secara aktif terhadap hak kedaulatannya ke atas Johor walaupun Temenggong Abdul Rahman telah meninggal dunia pada tahun 1825, dan pewaris keduanya, Temenggong Daeng Ibrahim pula masih terlalu mentah dan remaja ketika itu.[15]

Sultan Hussain akhirnya dilihat lebih banyak menghabiskan masanya di kediaman rasminya di Singapura yakni Istana Kampong Gelam sehingga tahun 1834, sebelum baginda berpindah ke Melaka dengan menaiki sebuah kapal yang bernama Julia milik Sultan Kedah. Baginda sebenarnya telah diusir oleh Sir John Crowford yang tidak mengiktiraf baginda sebagai Sultan di Singapura. Baginda lebih disenangi untuk tinggal di Melaka kerana mempunyai saudara-mara yang ramai tinggal di Tengkera, Melaka. Menurut sumber laporan, Sultan Hussain ialah seorang yang lemah lembut, sifat dan perwatakannya cukup menunjukkan baginda kekurangan kuasa dan pemerintahan yang tidak setanding dengan gelaran Sultannya.[16]